Sumbangan besar mereka untuk manfaat rakyat, negara
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi menyampaikan Anugerah Merdeka 2009 kepada empat tokoh sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam bidang masing-masing untuk manfaat rakyat dan negara ini.
Perdana Menteri menyampaikan sijil, piala dan wang tunai berjumlah RM500,000 kepada setiap penerima anugerah selepas melalui proses penilaian berasaskan merit pencapaian mereka tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau ideologi.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang juga kolumnis Berita Harian, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, dipilih memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik; Profesor Kimia UTM, Prof Dr Halimaton Hamdan (kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi); bekas Menteri Wanita pertama, Tun Fatimah Hashim dan wanita pertama sebagai Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Lim Phaik Gan masing-masing berkongsi anugerah kategori Pendidikan dan Komuniti.
Zaini dan Halimaton masing-masing menerima wang tunai RM500,000, sijil dan trofi manakala Fatimah dan Lim masing-masing menerima RM250,000, sijil dan trofi. Tiada pemenang bagi anugerah kategori Alam Sekitar tahun ini kerana tiada yang layak.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Anugerah Merdeka diwujudkan pada 27 Ogos 2007 untuk memberi anugerah kepada individu dan badan unggul yang menyumbang ke arah kemajuan negara.
Ia juga bertujuan menggalakkan kepemimpinan berfikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan dan menggalakkan pandangan global, seterusnya menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik.
Anugerah inisiatif Petronas dan diasaskan bersama ExxonMobil serta Shell itu dilancarkan Perdana Menteri tahun lalu.
Zaini dipilih atas sumbangan besarnya dalam pelbagai isu alam sekitar dengan pengkhususan bidang bekalan air, sistem pembetungan, pemulihan sungai dan ekologi industri. Anak kelahiran Kampung Johol, Inas, Negeri Sembilan itu adalah jurutera profesional alam sekitar, pemimpin akademik, ahli motivasi, penganalisis serta penulis.
Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.
Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya, yang kini digunakan di seluruh dunia. Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dan bidang pengajian tinggi dihasilkannya sudah diterbitkan dan kini menjadi rujukan pelajar di institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.
Pemilihan Dr Halimaton, 53, yang mempunyai latar belakang dalam bidang kimia, untuk kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan sumbangannya yang banyak dalam bidang penyelidikan sains.
Beliau menemui dan menukarkan sisa sekam padi daripada jenama Maerogel (Aerogel Malaysia) dengan kaedah berteknologi tinggi untuk pelbagai kegunaan dengan kos lebih murah dan mesra alam.
Sumber : Berita Harian